Monday, May 25, 2009

Ayam curi , sembelih di istana , masak di mahkamah , jamu di masjid !

- DARI ANAK BEKAS SPEAKER DUN PERAK DATO' ABDUL MALIK

1.Keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu yang mengisytiharkan bahawa Datuk Seri Dr Zambry Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah tidak memeranjatkan.Dan melihat kepada respons para penyokong Pakatan Rakyat (PR)nampaknya keputusan itu tidak akan meredakan jauh sekali menamatkan krisis politik di Perak.

2.Semua pihak yang mempertahankan keabsahan (legitimasi) kerajaan kudeta UMNO/BN di Perak Darul Ridzuan sama ada di kalangan UMNO , ISTANA dan HAKIM - HAKIM 3-0 di Putrajaya istana 'keadilan' membuat kesimpulan yang sangat logikal.Bahawa yang memiliki majoriti dalam DUN Perak sekarang adalah BN.Maka wajarlah kerajaan itu milik BN dan sangat wajarlah juga Pakatan Rakyat pasrah - bersedih - menggigit jari menjadi kerajaan buangan pasola (Pembangkang).

3.Untuk pembincangan seterusnya tolong isi otak kiri dan otak kanan anda dengan dalil - dalil yang berasaskan syariah dan prinsip kedaulatan undang - undang tanpa rasa takut dan pilih kasih.Lontarkan jauh - jauh karat - karat assobiah , karat - karat kepentingan - kepentingan gaji , poket , kontrak dan perasaan inginkan anugerah pingat Dato' atau sekadar pingat PJK.

4.BN kata mereka ada majoriti dalam dewan.Tetapi bagaimana sokongan itu didapati?Bagaimana dengan elemen jenayah yang dikatakan berlaku?Saya terima bahawa lompat parti sah di sisi undang - undang.Tetapi ini bersyarat: jangan ada rasuah , penculikan , perangkap seks dan seumpamanya.

5.Takkan dah ada ijazah syariah , usuluddin , tasauf dan bergelar pula al-fadhil bahkan sahabul samahah , ulama' , tok guru boleh pula mengharuskan jenayah - jenayah tersebut baik dari segi undang - undang sivil atau undang - undang syariah.Yang haram jelas yang harus pun jelas dan yang subahat pun kebiasaannya dapat di kenal pasti.

6.UMNO/BN berkokok seluruh negara bahawa tindakan rampasan kuasa 6/2 sebagai tepat dan selari dengan kehendak undang-undang.Hakim mahkamah tinggi silap dan tidak menimbangkan fakta kes dengan cermat, penghakiman Yang Arif Abdul Aziz yang setebal 78 muka dikatakan tersasar walaupun sarat dengan hujjah undang-undang. Hakim-hakim 3-0 dari ISTANA KEADILAN Putrajaya menggunakan kaedah sebaliknya ia itu buat keputusan dahulu dan cari hujjah penghakiman kemudian.

7.Peristiwa hitam di Perak membuktikan betapa unggulnya sistem dan undang-undang ISLAM.Semua pengamal undang-undang menyatakan dari segi undang-undang tidak salah perbuatan Jamaluddin dan Kapten Osman (katak lompat).Perbuatan YB Hamidah Osman membawa dua ADUN lompat tersebut untuk 'diculik' oleh Dato' Najib juga tidak dipedulikan oleh agensi-agensi penguatkuasa undang-undang.Baginda Sultan menemuduga Jamaluddin dan Osman sekadar bertanya : kamu sokong kerajaan BN? Sukarela? Jika Baginda Sultan tanya sedikit lagi soalan tambahan : Dimana kamu hilang seminggu? Siapa yang 'culik' kamu? Apa janji dan tawaran yang diberi kepada kamu ,etc. Tentu dua ADUN LOMPAT tersebut,mungkin juga HAMIDAH akan terkencit.Bagi Islam semua ada nilai dan roh moral.Ungkapan "it is legally right but morally wrong" tidak wujud dalam kamus Islam.

8.Kerajaan UMNO/BN walaupun dihalalkan oleh mahkamah tetapi tetap haram dari segi perspektif Islam.Orang yang menjadi Menteri Besar dan EXCO - EXCO juga tidak sah kerana ia bermula daripada proses haram.

Renungan : Sabda Nabi S.A.W "Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima melainkan perkara yang baik"
(Maksud Hadis riwayat Muslim)

AYAM CURI KALAUPUN DISEMBELIH SECARA ISLAM DAN DIMASAK DENGAN RENCAH - RENCAH YANG HALAL OLEH ORANG ISLAM TETAP IANYA HARAM UNTUK DISEDEKAHKAN DAN DIJAMU WALAUPUN UNTUK KEBAJIKAN SEPERTI MAJLIS TAHLIL!!!

- Dipetik dari blog DR.Khairuddin Dato' Abdul Malik. Lihat link di sebelah ->

Sebuah Kisah Yang Mungkin Boleh Jadi Realiti - Kesan Keputusan Mahkamah Rayuan 22 Mei 2009

Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi awal Januari 2010, Najib Tun Razak yang baru pulang ke rumah rasminya di Putrajaya tiba-tiba dikejutkan dengan satu surat dari Duli Yang Mulia Yang DiPertuan Agung ( YDPA ) bahawa beliau dan Rosmah hendaklah mengosongkan rumah rasminya kerana YDPA telah melantik orang lain sebagai Perdana Menteri menggantikan beliau.

Alasan YDPA di dalam surat tersebut adalah ahli-ahli Dewan Rakyat khususnya dari Pakatan Rakyat ( PR ) dan beberapa ahli BN yang mula menyokong PR telah berjumpa YDPA di Istana dan menyatakan bahawa mereka tidak lagi yakin dengan Najib dan mahu orang lain sama ada Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang atau Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Surat YDPA juga menyatakan bahawa jika Najib tidak meletak jawatan beliau hendaklah dipecat dari jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Najib merengus marah manakala Rosmah berteriak macam orang yang kena histeria . Najib yang masih marah dan berang berkata : “ Macam mana Tuanku dengan sewenang-wenangnya memecat patik sedangkan Parlimen tidak mengadakan apa-apa sidang atau membawa apa-apa usul atau undi tidak percaya kepada patik. Patik tidak nampak mana –mana peruntukkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang member kuasa kepada Tuanku untuk memecat patik sebagai Perdana Menteri. Macam mana patik boleh dengan mudah dipecat dan sebagai ganti dilantik orang lain sebagai Perdana Menteri sedangkan tidak ada sebarang undi tidak percaya diluluskan di Parlimen ke atas patik”.

Keluhan Najib didengar dengan tenang oleh YDPA . YDPA dengan senyum berkata kepada Najib : “ Adakah tuan hamba sudah lupa bahawa pada 22 hb Mei 2009 iaitu pada hari Jumaat jam 3.30 petang di tingkat bawah Palace of Justice, Putrajaya tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Yang Arif ( Y.A ) Dato Raus Sharif, Y.A Dato Ahmad Maarof dan Y.A Dato’ Zainon Ali telah sebulat suara memutuskan antara lain bahawa

a. Seorang Menteri Besar ( di peringkat Negeri ) atau Perdana Menteri ( PM ) di peringkat Pusat secara tersirat boleh dipecat atau diminta letak jawatan jika Sultan atau YDPA memutuskan bahawa MB atau PM tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN atau Ahli-Ahli Parlimen.

b. Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak atau Perkara 43 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa kaedah bagi menentukan bahawa seorang MB atau PM hilang keyakinan majoriti ADUN atau ahli-ahli Parlimen adalah melalui undi tidak percaya ( votes of no confidence ).

c. Kes Stephen Kalong Ningkan ( 1966 ) iaitu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Sarawak yang memutuskan bahawa Governor atau Sultan tidak ada kuasa memecat Ketua Menteri atau MB dan satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya tidak boleh lagi dipakai.

YDPA seterusnya menambah : “ Bukankah keputusan Mahkamah Rayuan tersebut yang tuan hamba inginkan bagi meraih keuntungan politik jangka pendek tuan hamba dan parti tuan hamba. Bukankah tuan hamba yang berkeras tidak mahu mendengar keluhan rakyat dan pemimpin partai komponen tuan hamba sendiri supaya krisis di Perak diselesaikan secara aman dan melalui amalan demokratik iaitu dengan kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya semula di Perak. Maaf tuan hamba, Beta terikat dengan keputusan tersebut dan tidak boleh buat apa-apa . Maka Beta dengan ini memerintahkan tuan hamba dan sekeluarga keluar dari rumah rasmi Perdana Menteri kerana tuan hamba bukan lagi Perdana Menteri Malaysia."

Najib tersentak dan lemah segala sendi manakala Rosmah pula terkaku dan jatuh pengsan. Tiba-tiba mereka sedar keputusan Mahkamah Rayuan hari ini kini telah makan diri. Jika keputusan yang paling wajar dan munasabah oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Y.A Dato’ Aziz Abdul Rahim yang memutuskan bahawa satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya sekaligus mengekalkan doktrin Raja Berperlembagaan ( Constitutional Monarchy ) keputusan Mahkamah Rayuan pula ditafsirkan oleh ramai cendikiawan undang-undang telah melahirkan doktrin baru iaitu Raja Mutlak ( Absolute Monarchy ). Jika Raja Berperlembagaan melahirkan kesejahteraan sudah tentu doktrin Raja Mutlak akan melahirkan suasana yang tidak menyenangkan.

- Dipetik dari blog Peguam Hanipa Maidin, http://peguampas.blogspot.com

Sunday, May 24, 2009

Prof Aziz Bari : Mahkamah Rayuan Tidak Memperkasakan Demokrasi


Sejak merdeka hanya ada tiga orang hakim yang berani membuat keputusan yang tidak menyebelahi parti yang didokong oleh kerajaan pusat. Profesor Aziz berkata, itu pun keputusan Mahkamah Tinggi dan ada yang memprovok Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat.

Keputusan-keputusan yang menentang Kerajaan Pusat di buat dalam kes Stephen Kalong Ningkan di Sarawak (1966), Joseph Pairin Kitingan di Sabah (1986) dan Nizar Jamaluddin di Perak (2008). Sejak Februari lalu kebanyakan hakim memberi keputusan yang menyebelahi Umno termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan yang bertentangan dengan peruntukan perlembagaan yakni Perkara 72(1). “Ertinya kita perlu sedar bahawa bukan semua keputusan mahkamah selaras dengan kehendak dan semangat perlembagaan,” tegasnya lagi.

Aziz turut mengingatkan, meskipun Zambry diputuskan oleh Mahkamah Rayuan sebagai sah, tetapi kedudukan Speaker Ganesan tetap haram kerana cara perlantikannya melanggar peraturan dewan.

Berbalik kepada keputusan Jumaat lalu Aziz berkata beliau berasa aneh mengapa Mahkamah Rayuan menyebut soal mandatori (kewajipan termesti) dalam soal undi tidak percaya. “Memang perlembagaan tidak mewajibkan begitu tetapi undi tidak percaya adalah cara yang terbaik kerana ia selamat dari manipulasi”, ujarnya.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perlantikan Zambry sah kerana tidak ada kemestian di dalam perlembagaan bahawa mesti ada undi tidak percaya terhadap menteri besar yang ada. Ketika mengulas perkara itu, Aziz berkata keputusan Mahkamah Rayuan tidak membantu memperkasa demokrasi. “Ia juga tidak selaras dengan kedudukan eksekutif di dalam sistem demokrasi berparlimen yang mesti mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan”.

Aziz menegaskan di dalam keadaan undi tidak percaya tidak dihalang ia perlu dilakukan. Katanya, “Mahkamah sepatutnya memperkasa keperluan undi tidak percaya ini dan bukan sebaliknya”. Aziz berkata Raus mempunyai tugas berat untuk meyakinkan mengapa beliau memutuskan bahawa menteri besar yang ada boleh disingkirkan tanpa undi tidak percaya. Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan itu akan membawa kesan yang besar kepada perlembagaan khususnya dan demokrasi umumnya.

Beliau mengakui memang ada keadaan di mana undi tidak percaya tidak perlu. “Tetapi itu di dalam keadaan menteri besar yang ada enggan atau lari darinya. Dalam kes di Perak sekarang ini jelas tidak berlaku; malahan Nizar bersedia menghadapinya,” kata Aziz.

Aziz berkata umumnya keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah berita sedih buat demokrasi di negara ini. “Di sisi perlembagaan istana dan mahkamah mempunyai tugas untuk mempastikan semak dan imbang. Raja dan hakim berperanan mempastikan keadilan dan ketelusan, bukan mengambilalih fungsi rakyat dalam memilih kerajaan”.
Beliau tidak bersetuju dengan para peguam Umno yang mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan menamatkan krisis politik di Perak.

“Yang pasti Nizar akan memohon untuk membuat rayuan dan kalau ditolak ia akan menyebabkan rakyat melihat mahkamah dengan pandangan yang negatif,” ujarnya.- dipetik dari blog speaker Perak, V.Sivakumar http://speakforperak.blogspot.com

Presiden PAS : PAS perlu menjadi parti yang kuat, tersusun dan tidak ada perpecahan antara Ulama dan Profesional

Presiden PAS, Hj. abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen PAS Perak

TELUK INTAN, 24 Mei :- Kita sudah ada rakan bukan islam dalam PAS bersama rakan-rakan yang lain. PAS perlu menjadi parti yang kuat, tersusun dan tidak ada perpecahan antara Ulama dan profesional. Keduanyanya perlu saling membantu dan tidak ada pemisahan antara keduanya.Demikan antara ucapan TG. DS. Hj. Abdul Hadi Awang semasa merasmikan Konvensyen PAS Perak di sini sebantar tadi.

Jika terdapat orang bukan Islam datang ke Negara Islam untuk mendapatkan perlindungan, hendaklah menyampaikan Islam kepada mereka tetapi tidak memaksa mereka untuk masuk Islam, juga tidak dibenarkan menghantar mereka balik ke negara asal mereka yang dizalimi itu.

Islam tidak memaksa rakyat untuk menganut Islam, Islam tidak memunggah hasil-hasil negeri untuk kerajaan pusat. Sejak zaman awal orang bukan islam dibenarkan dalam bidang perniagaan termasuk perniagaan khinzir.

Dalam pemerintahan islam, orang Islam dikenakan zakat dan orang bukan islam dikenakan cukai.

Islam menerima cara hidup cara hidup, adat, ilmu yang baik agama lain, "kebijakasaan adalah barang tercicir kepunyaan orang yang beriman", "menuntut ilmu walaupun ke negeri cina." maka islam mengumpul tamuddun hebat didalam sejarah manusia. Percampuran itulah melahirkan pemerintahan yang berasaskan iman, adil dan aman.

Presiden PAS mengimbau Umar pada satu malam mendengar pada satu malam seorang ibu mengajar anaknya mencampurkan susu dengan air, kata ibu anak itu kerajaan umar tidak tahu, lalu anaknya berkata walaupun umar tidak tahu tetapi Tuhan Umar tahu. Keesokan Umar memanggil mereka meraka lalu Umar meminang anak itu untuk dikhawinkan dengan anaknya, dari itulah lahir kepimpinan Umar abdul Aziz yang adil.

Pembunuhan yang kejam dan kezaliman adalah dari kerajaan yang tidak mengikuti Islam. Walaupun islam memerintah sekitar 1300 tahun dan dijatuhkan tetapi ianya masih hidup untuk menyeleasikan masalah manusia hari ini termasuklah kiris ekonomi, rumah tangga dan sebagainya.Katanya.

Presiden PAS menegaskankKeruntuhan moral barat sehingga dibarat sehingga ada yang mewasiatkan harta kepada anjing, di Korea bekas persiden korea membunuh diri kerana keluarganya dituduh rasuah, Islam melarang bunuh diri, islam menyuruh kita melawan kezaliman itu , bukan menyerah kalah. Dalam islam ada aspek kebendaan dan spritual.

Beliaun juga menegaskanpPemerintahan di kelantan, terengganu dan tidak sampai setahun di Perak. Rakan PKR dan DAP beri amanah kepada PAS menjadi MB di perak.

Katanya apa yang penting kita mengeratkan hubungan antara parti "Allah mengasihi orang yang berjuang dalam saf yang tersusun rapi". Tidak boleh ada kerenganan antara kita sebagaimana saf sembahyang. Seperti susunan batu bata tersusun rapi, masing-masing dengan tugas masing-masing. Untuk semua peringkat termasuk kelab penyokong.

Tambahnya menyusun jentera parti bukan saja kita akan mencapai kemenangan, dan termasuklah mengisi kemenangan itu.

Islam mengajar tidak ada satu pemerintahan yang kekal di dunia, umno bukan kuasa besar dunia.

Harapan akhir Presiden PAS dengan seruan "Marilah konvensyen ini kita jadikan "chek and balance," mengukuhkan parti, ucap terima kasih dijemput berada ditengah program. mudah-mudahan kita ambil manafaat dari pertemuan ini.

Beliau juga menafikakan ada masalah dalam PAS "Kita tidak berkelahi, dia lalu tepi rumah kita dia dengar bising dia kata kita berkelahi, kita cuma pindah perabut sahaja.Ucapnya mengakhiri ucapan perasmian. - Dipetik dari blog Drs. Khalil Idham Lim

Friday, May 22, 2009

Keputusan Mahkamah Rayuan status MB Perak

Salam...........
Mahkamah Rayuan hari ini membuat keputusan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi.
Dari semua fakta yang dilihat melalui kertas penghakiman yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi memang dah jelas IR Nizar MB yang sah.

Nampaknya bacaan politik Naib Presiden PAS Husam Musa tepat.

Sunday, May 17, 2009

Ya Allah... Selamatkanlah negaraku Malaysia dan negeriku PERAK dari bala bencana!

Ya Allah Ya Tuhanku,
Menangkanlah pihak yang benar di negeri Perak khususnya dan di Malaysia amnya. Ya Allah,
menangkanlah pihak yang benar dalam krisis di negeri Perak ini ya Allah. Engkau berilah balasan secepat mungkin pada pemimpin yang zalim. Sesungguhnya engkau Maha Mengetahui lagi Maha bijaksana.Aminn.... Yarabbal a'lamin.........