Tuesday, January 5, 2010

Umno pertahan nama Allah, tapi khianat Islam

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan sikap Umno yang menangguk di air keruh dan mempolitikan isu nama Allah demi kepentingan mereka yang mahu diiktiraf 'juara rakyat' secara 'fast track'.

Maka PAS mendesak Umno yang bangga dengan status 12 penggal mentadbir Malaysia untuk meminda Perlembagaan bagi menghalang pengaruh agama-agama lain terhadap umat Islam..Harus diingat bahawa Umno bertanggungjawab dalam mewujudkan Enakmen Syariah bagi Mahkamah Syariah di negara ini, yang mana didalamnya terkandung klausa yang membolehkan umat Islam memohon untuk murtad sedangkan amalan perundangan ini tiada dalam hukum Islam. PAS menuntut klausa ini dimansuhkan segera.

PAS juga kesal kerana Umno suatu ketika dahulu pernah cuba membuang nama Islam dari digunakan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam. Umno juga bertindak zalim dengan merobohkan serta mengunci beberapa masjid dan surau sebelum ini kerana dendam politik.

PAS juga yakin bahawa rakyat turut berasa kesal kerana pemimpin-pemimpin Umno yang tegar mempertahankan nama Allah hari ini masih enggan mematuhi seruan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menegah mana-mana umat Islam bertafakur dihadapan tugu negara yang dianggap sebagai perbuatan syirik yang 'berlesen besar'.

Umat Islam juga jelak dengan pemimpin Umno yang berdegil membenarkan ahli-ahlinya menjadi Ahli Lembaga Pengarah syarikat judi dan arak dinegara ini. Malah Umno juga enggan mengeluarkan larangan kepada umat Islam untuk bekerja di premis arak dan judi.

Pemimpin-pemimpin Umno juga bertanggungjawab dalam menekan Jabatan-jabatan Agama yang melakukan operasi dipusat-pusat hiburan dan maksiat. Suatu ketika dahulu Umno pernah mempertikaikan tindakan JAWI menahan umat Islam yang didapati minum arak secara terbuka di Kelab Malam Zouk di Jalan Ampang.

PAS dan umat Islam juga belum dapat memaafkan dosa Umno yang menarik bantuan kepada Sekolah-sekolah Agama rakyat yang menyebabkan berpuluh sekolah terpaksa ditutup dan pendidikan agama anak-anak umat Islam disekat. Umno juga pernah mencuba untuk menyekat perkembangan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang ditubuhkan PAS bagi memberikan didikan kepada anak-anak pra-sekolah, malahan PASTI di Melaka telah disaman oleh kerajaan Umno di Melaka

Tidak dilupakan juga, rakaman debat olok-olok yang diadakan oleh Umno bagi mempertikaikan dasar-dasar Islam yang dibawa PAS. Walaupun akhirnya debat itu berjaya menjelaskan kejahilan Umno terhadap Islam, namun rakyat melihat mereka sebenarnya mereka sengaja mempermainkan-mainkan dasar-dasar Islam dalam debat yang dianggap memperolokkan Islam keseluruhannya.

Terlalu banyak bukti yang menunjukkan pengkhianatan Umno kepada Islam dan PAS berharap isu nama Allah ini akan memberikan keinsafan buat Umno. Akibat dari kecurangan mereka terhadap Islam maka, sudah ada orang berani mencabar Islam di negara ini.. PAS menolak sebarang aktiviti ekstrim dan provokasi melampau dalam isu ini.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Sunday, January 3, 2010

PAS KECEWA MAHKAMAH BENARKAN PERKATAAN ALLAH DALAM MINGGUAN HERALD THE CATHOLIC

Parti Islam Semalaysia (PAS) kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya..

PAS bimbang dengan membenarkan penggunaan nama Allah dalam penerbitan ini akan menimbulkan kekeliruan di kalangan orang Islam terutama di kalangan muallaf dan mereka yang hendak mendekatkan diri dengan Islam.

Penggunaan nama Allah telah dianggap sebagai serasi dengan masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini yang merujuk kepada penggunaan itu hanya untuk agama Islam sahaja. Perkara ini telah diakur sejak turun temurun oleh penganut agama Kristian di negara ini.

Penggunaan nama Allah dalam al-Quran, maksudnya “Dan jika kamu bertanya kepada mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka mengatakan Allah”. Allah yang mereka akur ialah sebagai Tuhan “Pencipta”, bukan sebagai Allah yang tunggal yang patut disembah. Ini dinamakan kepercayaan Rububiyyah, bukan kepercayaan Uluhiyyah.

PAS mengharapkan supaya pihak Kerajaan membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi supaya ia mendatangkan kebaikan kepada kita bersama. Menghalang penggunaan nama Allah ini sebagai satu langkah “Soddu Zarai’c” untuk menutup pintu keburukan di kalangan masyarakat Islam khususnya dan masyarakat Malaysia amnya.

Perlu ditegaskan ini bukan berarti PAS menentang kebebasan agama lain untuk mengamalkan ajaran mereka sediri di negara ini. Selama ini PAS yang memerintah di Kelantan hampir 20 tahun memberi kebebasan kepada penganut agama yang manoriti mengamalkan agama mereka tanpa apa-apa gangguan daripada pihak berkuasa Pas di Kelantan.

Idris Haji Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat